Rendang yang disediakan untuk santapan keluarga
di malam dan pagi Hari Raya.
Syawal kali ini amat bermakna buatku. Ianya dipenuhi dengan kemesraan, kasih sayang, kerinduan, persahabatan, kegembiraan dan duka. Tahun ini aku berpeluang mengenali mereka yang sealiran fikirnya denganku, berkongsi pengalaman dalam mengharungi liku-liku perjalanan di dunia yang fana ini.
AKu bersyukur, dapat bertemu kaum keluarga, sanak saudara, bertukar lawak-jenaka dalam usaha mengiratkan silaurrahim, saling faham memahami yang membibitkan rasa kasih yang lebih mendalam, kemesraan dan kerasian.
Aku dapat mencium tangan bapaku sambil memohon keampunan, bermaaf-maafan sesama sanak saudara, bersama berkongsi kegembiraan di pagi syawal dengan laungan takbir raya bergema menusuk kalbu, mengingatkan ummat perihal musuh-musuh Islam. Di pagi raya, ada yang menitiskan air mata kegembiraan dan ada yang mengeluarkan air mata berduka.
Sebagai 'Khalifatullah', perjalanan di dunia ini tidak sentiasa mudah. Kegembiraan tidak akan kekal. Dugaan mendatangi untuk membezakan mereka yang disebut golongan yang sabar serta berserah diri daripada mereka yang alpa dengan kesenangan dan keindahan duniawi. Cabaran demi cabaran didatangkan untuk menguji sejauh mana manusia berpegang dengan ikrar khalifahnya. Rintangan yang berupa kesenangan dan kemudaratan boleh mengikis keImanan dan ketaqwaan mereka. Ramai yang lalai dibelai syaitan sehingga tidak berupaya memikul tanggung-jawab insaniah dan tunduk kepada Yang Maha Esa.
Bergemanya takbir raya, berkumandangnya laungan "Allahu Akbar, Allahu Akbar" mengingatkan kita tentang kebesarah Illahi. Ia memperingatkan perihal perjuangan yang belum selesai. Perjuangan dalam menghadapi tipu helah syaitan dalam pelbagai bentuk termasuk melalui 'alkafirun' dan 'tentera ahzab.'
Justeru itu, dalam kegembiraan serta merayakan keupayaan melengkapkan puasa, perlulah kita menginsafi diri dan bersyukur atas nikmat yang telah Dia anugerahkan; keluarga yang soleh, hati yang tenang, kemewahan yang tidak melalaikan, ilmu yang berguna, kesihatan yang bermanfaat, sahabat andai yang bertaqwa, Taufik dan HidayahNya serta keImanan hingga ke akhir hayat.
Bersederhana, 'bermuhasabah', 'bermurakabah' dan ini akan melahirkan perasaan betapa kerdilnya diri seseorang insan berbanding dengan 'zat' Allah swt. Yang Maha Kaya.
Inilah Ramadhanku bersama keluarga dan sanak saudara, menumpang suka, berkongsi berduka. Namun ianya kami terima dengan penuh keredaan kerana sesungguhnya kemenangan adalah bagi mereka yang redha dengan ketetapan Allah dan Allah redha atas diri mereka. Wallau 'alam.